Reset Setting Change contrast to brightChange contrast to originalChange contrast to darkChange to thin layoutChange to default layoutChange to wide layoutChange font size to lower sizeChange font size to original sizeChange font size to large size
T
T
T
T
T
T
Jata Negara Jata Selangor Jabatan Pertanian Selangor

                                                                                                                                                                                                                                                                                                   

Kawalan Racun Perosak

Kawalan Racun Perosak

SOALAN LAZIM
 

1. Apakah yang dimaksudkan dengan racun makhluk perosak?

Racun makhluk perosak ialah racun makhluk yang meliputi semua racun serangga, racun kulat, racun rumpai, racun tikus, racun siput dan racun makhluk lain yang digunakan dalam bidang pertanian, sektor kesihatan umum, sektor perhutanan dan yang di-gunakan dalam rumah.

2. Apakah Akta Racun Makhluk Perosak 1974?

Akta Racun Makhluk Perosak 1974 ialah satu undang-undang yang digubal bagi mengawal berbagai aspek yang berkaitan dengan racun makhluk perosak yang mana meliputi: -

i) pengimportan, pengilangan racun makhluk perosak melalui pendaftaran dan pengeluaran permit

ii) pengawalan, penjualan dan penyimpanan melalui kaedah-kaedah pelesenan

iii) pengawalan residu racun makhluk perosak dalam bahan makanan, melalui cerakinan dan persampelan hasil pertanian

iv) menjalankan penyiasatan berkaitan dengan kes-kes keracunan yang disebabkan oleh racun makhluk perosak

v) penguatkuasaan undang-undang berkaitan

vi) pengawalan iklan racun makhluk perosak di media massa

vii) pengawalan label racun makhluk perosak melalui Peraturan Perlabelan

viii) pengawalan pengendali kawalan makhluk perosak.

3. Apakah objektif/matlamat Akta ini?

Matlamat Akta adalah seperti berikut:-

i) mengawal perkilangan, penjualan dan penyimpanan racun makhluk perosak di negara ini

ii) memastikan racun makhluk perosak adalah berkesan sebagaimana didakwa pada label

iii) mengawal pemalsuan racun makhluk perosak dari segi kandungan, kepekatan bahan aktif, kemujaraban serta lain-lain sifat yang terdapat pada sesuatu racun makhluk perosak

iv) mengawal residu racun makhluk perosak dalam makanan untuk kegunaan tempatan dan juga untuk eksport

v) mengawal bahaya racun makhluk perosak ke atas pengguna, pengendali, orang awam, ternakan, punca-punca air dan juga alam sekitar.

4. Apakah peruntukan-peruntukan yang telah dilaksanakan di bawah Akta ini?

Peruntukan-peruntukan tersebut adalah: -

  •  Pendaftaran racun makhluk perosak
  •  Pengeluaran permit mengimport racun makhluk perosak untuk tujuan penyelidikan pelajaran dan atau sebagai contoh atau piawaian cerakinan
  • Pemantauan residu dalam hasil pertanian
  • Penyiasatan ke atas kematian dan bencana racun makhluk perosak
  • Pengawalan iklan makhluk perosak
  • Pengawalan pengendalian kawalan makhluk perosak
  • Pengawalan label racun makhluk perosak
  • Pengawalan semburan udara racun makhluk perosak.

5. Apa dia pendaftaran racun makhluk perosak?

la adalah suatu skim untuk mendaftarkan racun makhluk perosak yang diluluskan untuk diimport, dikilang, dijual dan digunakan di dalam negara ini yang dijalankan oleh Jabatan Pertanian di bawah arahan Lembaga Racun Makhluk Perosak.

6. Apakah tujuan pendaftaran ini dijalankan?

Skim pendaftaran racun makhluk perosak adalah bertujuan menentukan racun makhluk perosak yang dipasarkan adalah berkesan seperti mana didakwa oleh pihak syarikat yang mendaftar dan selamat dikendalikan dengan syarat segala garis panduan dan peraturan penggunaanya dipatuhi.

Pendaftaran juga bertujuan untuk memastikan racun makhluk perosak yang didapati di pasaran itu mengandungi perawis aktif tertentu dalam kuantiti yang betul seperti yang dinyatakan di label dan dalam perumusan-perumusan yang sesuai dan diisi dalam bekas-bekas yang sesuai dan berlabel. 

7. Apakah yang dimaksudkan dengan racun makhluk perosak yang diluluskan?

la adalah racun yang pada pendapat Lembaga berkesan untuk tujuan penggunaannya dan secara relatifnya selamat untuk digunakan dan boleh dijual di negara ini dengan mematuhi syarat-syarat tertentu.

8. Apakah jenis racun makhluk perosak yang dikawal oleh pendaftaran ini? 

Penguatkuasaan pendaftaran pada 1 hb. April, 1981 ini meliputi semua racun serangga, racun kulat, racun rumpai, racun tikus, racun siput dan lain-lain yang digunakan dalam bidang pertanian, haiwan, kesihatan umum, rumahtangga dan lain-lain. Oleh yang demikian lingkaran nyamuk, bahan pengewasapan, aerosol dan minyak yang digunakan sebagai racun serangga mestilah semuanya didaftarkan.

9. Bagaimana hendak tahu sama ada sesuatu racun makhluk perosak itu telah didaftar?

Suatu racun makhluk perosak yang berdaftar mempunyai label yang membawa satu nombor pendaftaran (No. Pendaftaran LRMP.R1/..........) dan kenyataan-kenyataan lain seperti nama racun, kepekatan perawis aktif, kenyataan amaran dan aturan menggunakannya.

10.Bilakah tarikh penguatkuasaan?

Mulai daripada 1 hb April 1981 di Semenanjung dan 1 hb Januari 1982 di Sabah dan Sarawak, hanya racun makhluk perosak yang berdaftar sahaja dibenarkan untuk diimport atau dikilang, dirumus, dibungkus, dibungkus semula atau dilabel di Malaysia. Racun makhluk perosak yang tidak berdaftar tidak boleh dijual di pasaran tempatan.

11.Apakah hukuman mengimport dan mengilang racun makhluk perosak yang salah jenama atau tidak didaftarkan?

Bagi kesalahan pertama, seseorang boleh dipenjarakan selama lima tahun atau didenda sebanyak $50,000 dan pada kesalahan kali kedua atau berikutnya boleh dipenjarakan selama sepuluh tahun atau didenda sebanyak $100,000 atau kedua-duanya sekali.

12.Bolehkah anda mengimport racun makhluk perosak yang tidak berdaftar selepas tarikh tersebut?

Ya, boleh! Mengjkut Seksyen 14 Akta, seseorang dibenarkan mengimport sesuatu racun makhluk perosak yang tidak berdaftar bagi maksud-maksud pelajaran, penyelidikan atau sebagai contoh pendaftaran atau piawaian cerakinan sahaja. Walau bagaimanapun, beliau mestilah terlebih dahulu mendapatkan suatu permit daripada Jabatan Pertanian.

13.Apakah permit mengimport racun makhluk perosak?

Permit mengimport racun makhluk perosak adalah satu permit/kebenaran yang dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Racun Makhluk Perosak 1974 (Pengimportan Bagi Maksud-Maksud Pelajaran, Penyelidikan Atau Sebagai Contoh Pendaftaran atau Piawaian Cerakinan) bagi seseorang yang berhasrat mengimport racun makhluk perosak.

14.Apakah yang dimaksudkan dengan permit mengimport?

Permit import ini hanya dikeluarkan bagi tujuan Pelajaran, Penyelidikan atau sebagai Contoh Pendaftaran Atau Piawaian Cerakinan. Permit ini tidak dikeluarkan untuk membolehkan racun makhluk perosak diimport untuk tujuan jualan dalam pasaran tempatan. Bagi membolehkan sesuatu racun makhluk perosak itu dijual, ia mestilah didaftarkan terlebih dahulu dengan pihak Lembaga.

15.Apakah hukuman yang boleh dikenakan sekiranya melanggar peraturan ini?

Bagi kesalahan pertama, seseorang yang melanggar peraturan ini boleh dikenakan penjara sehingga 6 bulan atau didenda sebanyak RM5,000, dan bagi kesalahan kedua dan seterusnya ia boleh dipenjarakan sehingga satu tahun atau didenda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

16.Apakah yang dimaksudkan dengan residu racun makhluk perosak dalam makanan?

Residu racun makhluk perosak adalah merupakan lebihan daripada kuantiti/kadar/kekuatan atau kepekatan yang ditentukan bagi sesuatu racun makhluk perosak dalam makanan.

17.Kenapa residu racun makhluk perosak dalam makanan perlu dikawal?

Residu racun makhluk perosak dalam makanan perlu dikawal supaya kandungannya berada di paras yang selamat kepada pengguna.

Kawalan residu adalah juga untuk memastikan:-

i) bahan makanan mengandungi residu racun makhluk perosak tidak melebihi paras yang ditetapkan oleh undang-undang.

ii) keluaran hasil komoditi dapat diterima oleh pembeli-pembeli luar negari selaras dengan had maksimum residu yang dtetapkan oleh pihak negara pembeli.

18.Bagaimanakah had residu racun makhluk perosak dalam makanan dikawal?

Kementerian Kesihatan bertanggungjawab terhadap residu racun makhluk perosak dalam makanan dan dikawal melalui Peraturan Makanan 1985 yang telah dikuatkuasakan pada 1 hb. April, 1987.

19.Bagaimanakah kandungan residu racun makhluk perosak dalam makanan ditentukan?

Pihak Kementerian Kesihatan mengambil contoh-contoh hasil pertanian sama ada dari ladang, pasar dan pintu-pintu keluar utama hasil pertanian bagi tujuan eksport. Contoh-contoh tersebut dianalisa di makmal Jabatan Kimia untuk mengesan tahap/ paras residu racun makhluk perosak yang terdapat. Sekiranya ia melebihi paras yang ditetapkan, komoditi-komoditi terlibat akan dimusnahkan oleh pihak yang berkuasa.

Jabatan Pertanian memberi kerjasama dalam menasihati petani tentang penggunaan racun makhluk perosak dengan betul, supaya petani memahami tempoh sebelum mengutip hasil yang perlu dipatuhi. Jabatan Pertanian juga membuat syor berkaitan had residu maksimum hasil pertanian kepada Kementerian Kesihatan.

20.Apakah hukuman yang boleh dikenakan sekiranya melanggar peraturan ini?

Mereka boleh didakwa dan jika bersabit dengan kesalahan akan dikenakan penalti di bawah Akta Makanan 1985.

Bahagian Kawalan Racun Perosak

21.Bagaimanakah Penguatkuasaan Akta Racun Makhluk Perosak 1974 dijalankan?

Bahagian Kawalan Racun Perosak sentiasa menjalankan pemeriksaan ke atas premis-premis yang mengendalikan racun makhluk perosak, kebun, ladang untuk memastikan segala peruntukan Akta dipatuhi. Selain daripada itu Bahagian Kawalan Racun Peorsak juga bertindak di atas laporan yang diterima dari mana-mana pihak bersabit dengan penguatkuasaan Akta ini. Orang ramai juga dapat membantu dalam penguatkuasaan Akta ini dengan memberi laporan serta maklumat mengenai pelanggaran mana-mana peruntukan Akta kepada Bahagian Kawalan Racun Perosak yang berdekatan.

22.Apakah tujuan mengadakan lesen bagi penjualan dan penyimpanan untuk jualan racun makhluk perosak?

Tujuannya adalah untuk: -

  • mengawal penjualan dan penyimpanan serta keselamatan pengendalian racun makhluk perosak
  •  mengawal pencemaran racun makhluk perosak terhadap makanan, minuman dan alam sekitar

23.Apakah yang dimaksudkan dengan lesen dan jenis lesen yang dikeluarkan di bawah kaedah-kaedah pelesenan tersebut? 

i) Lesen Menjual Racun makhluk Perosak

Lesen ini dikeluarkan kepada penjual-penjual racun makhluk perosak. Pemegang lesen ini cuma dibenarkan menyimpan dan menjual racun makhluk perosak pada premis yang di-nyatakan dalam lesen sahaja. Satu lesen dikeluarkan untuk satu premis sahaja.

ii) Lesen Menyimpan Racun Makhluk Perosak Untuk Jualan

Lesen ini dikeluarkan kepada penjual-penjual racun makhluk perosak yang menyimpan racun tersebut di premis selain daripada premis jualan. Pemegang lesen ini tidak dibenarkan menjalankan aktiviti penjualan pada premis yang disebutkan di dalam lesen tersebut.

24.Siapakah yang layak memohon lesen di bawah Kaedah-Kaedah Pelesenan?

Hanya syarikat-syarikat, pertubuhan perniagaan, koperasi-koperasi dan lain-lain badan/agensi yang didaftarkan di bawah undang-undang yang berkaitan di negara ini boleh memohon lesen tersebut. Permohonan atas nama perseorangan tanpa memenuhi syarat di atas tidak dapat diterima.

25.Apakah jenis racun makhluk perosak yang dikecualikan daripada mempunyai lesen?

Racun makhluk perosak yang disenaraikan di bawah ini adalah dikecualikan daripada mempunyai lesen: -

· Bacillus thuringensis subsp israelensis serotype H-14 yang mengandungi 200 I.T.U/mg

· Bacillus thuringensis subsp israelensis serotype H-14 yang mengandungi 1200 I.T.U/mg

· Cecair ("s[pot on") untuk mengawal sengkenit dan pinjal pada anjing dan kucing

· Cecair penghalau nyamuk untuk pengewapan

· Kelambu atau kertas yang diserapkan dengan racun serangga

· Kepingan penghalau nyamuk

· Lingkaran penghalau nyamuk

· Losyen untuk mengawal kutu, pinjal dan hama pada anjing dan kucing

· Penghalau serangga

· 0.5% atau kurang b/b serbuk permethrin

· 1% atau kurang b/b butir temephos

· Relang leher untuk mengawal sengkenit dan pinjal pada anjing dan kucing

· Sabun untuk binatang peliharaan

· Serbuk untuk emngawal sengkenit dan pinjal pada anjing dan kucing

· Syampu untuk mengawal kutu, pinjal dan hama pada anjing dan kucing

· Tablet untuk mengawal lipas

· Umpan lalat, lipas atau semut

26.Bolehkah anda menjual racun makhluk perosak tanpa lesen selepas kaedah-kaedah pelesenan dikuatkuasakan?

Tidak boleh! Mengikut Seksyen 59 Akta racun makhluk perosak 1974, seseorang itu tidak dibenarkan menjual racun makhluk perosak selain daripada racun makhluk perosak yang disenaraikan di bawah Perintah racun makhluk perosak (Pengecualian) 1988, tanpa lesen. Seseorang itu mestilah terlebih dahulu mendapatkan lesen menjual racun makhluk perosak daripada Lembaga racun makhluk perosak. 

27.Berapakah bayaran permohonan memproses lesen tersebut?

Setiap permohonan dikenakan bayaran memproses mengikut kategori berikut:

 

BIL KELAS RACUN MAKHLUK PEROSAK F1
1 Ia, Ib, II, III, IV RM 750.00
2 Ia, 1b RM 500.00
3 II, III, IV RM 250.00
 

 

Lesen berkenaan hanya dikeluarkan jika pemohon dapat mematuhi segala syarat-syarat pelesenan yang ditetapkan

28.Berapa lamakah tempoh lesen itu dikeluarkan?

Lesen tersebut dikeluarkan hanya untuk tempoh 3 tahun dari tarikh ianya dikeluarkan dan perlu diperbaharui sebelum tamat tempoh lesen. Untuk membaharui lesen, pemohon dikehendaki mengemukakan satu permohonan memperbaharui beserta dengan bayaran. 

29.Apakah hukuman jika menjual atau menyimpan bagi tujuan jualan racun makhluk perosak tanpa lesen atau melanggar syarat-syarat yang ditetapkan?

Sesiapa yang menjual/menyimpan untuk jualan racun makhluk perosak tanpa lesen, adalah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 20(1) Akta Racun Makhluk Perosak 1974 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 20 (4) A Akta tersebut. Penalti bagi kesalahan adalah seperti berikut:-

· Bagi kesalahan kali pertama, boleh didenda sebanyak RM10,000 (Sepuluh Ribu Ringgit) atau 3 tahun penjara..

· Bagi kesalahan kedua dan seterusnya, boleh didenda sebanyak RM20,000 (Dua Puluh Ribu Ringgit) atau 6 tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

30.Di manakah pemohon boleh mendapatkan borang permohonan lesen tersebut?

Borang-borang permohonan lesen boleh didapati di tempat-tempat berikut :-

a) Bahagian Kawalan Racun Perosak Negeri

b) Laman web Jabatan Pertanian

31.Apakah yang dimaksudkan dengan Peraturan Racun Makhluk Perosak Amat Berbisa?

Peraturan Racun Makhluk perosak Amat Berbisa adalah satu peraturan bertujuan mengawal serta menghadkan penggunaan beberapa jenis racun makhluk perosak tersebut.

32.Di bawah peraturan ini apakah jenis racun yang dikawal?

Buat masa kini cuma tiga jenis racun makhluk perosak yang dikawal iaitu:-

i) Paraquat dan campurannya

ii) Monocrotophos

iii) Methamidophos

33.Mengapakah racun makhluk ini dikawal?

Racun makhluk ini dikawal oleh sebab tahap keracunan atau kebisaannya yang amat tinggi pada manusia dan binatang apabila terdedah padanya.

34.Bagimanakah racun makhluk ini dikawal?

Terdapat beberapa peringkat pengawalan iaitu:-

i) Hanya kedai-kedai yang tertentu sahaja boleh menjual racun makhluk perosak yang dikawal ini

ii) Racun makhluk perosak jenis monocrotophosdan methamidophos hanya boleh dijual kepada pengusaha-pengusaha tanaman kelapa dan kelapa sawit sahaja

iii) Ketiga-tiga jenis racun yang dikawal ini sekiranya dijual, butir-butir urusniaga hendaklah direkod dalam format-format tertentu dan disimpan oleh pekedai-pekedai selama tempoh 3 tahun untuk tujuan pemeriksaan

35.Bolehkah seseorang itu memiliki atau menggunakan racun makhluk perosak yang tidak didaftarkan?

Tidak boleh. Ia adalah dikawal di bawah seksyen 53A (1)(a) Akta yang berkuat kuasa pada 3 Mac 2005.

36 . Bolehkah seseorang itu menggunakan racun makhluk perosak sembarangan?

Tidak boleh. Seksyen 53A(1)(b) melarang menggunakan racun makhluk perosak selain mengikut penggunaan yang dinyatakan pada label, sebagaimana yang diluluskan.

37.Apakah kesalahan di bawah seksyen 53A itu?

Sabitan pertama boleh dikenakan hukuman penjara selama setahun atau didenda sepuluh ribu ringgit dan sabitan kedua atau kemudiannya, dipenjarakan selama tiga tahun atau didenda dua puluh ribu ringgit atau kedua-duanya.

 

Pegawai Yang Bertanggungjawab Unit Kawalan Racun Perosak

En. Mohamad Rizal bin Abd Halid

Tel: 03-55189888 ex 5727


Kemaskini pada 2015-10-12 16:05:41 oleh Administrator

  •  
  • Email this page
  • 5800
Terma & SyaratDasar Privasi | Dasar Keselamatan | Penafian
Tarikh Kemaskini 20-10-2018 Jumlah Pelawat : 113878
                                                                                                                                                                                                   Ikuti kami di: 
 
JABATAN PERTANIAN NEGERI SELANGOR
Tingkat 4, Bangunan Darul Ehsan, No 3, Jalan Indah Sksyen 14, 40632 Shah Alam, Selangor
No. Tel : 03 - 5518 9888  |  No. Fax : 03 - 5510 5004  |  E-mel : adminjpns@selangor.gov.my
Hakcipta Terpelihara 2016 Jabatan Pertanian Negeri Selangor
Paparan terbaik menggunakan Internet Explorer 8.0 dan ke atas atau Mozila Firefox dan Google Chrome resolusi melebihi 1025 x 768 pixels